Friday, June 25, 2010

KELEBIHAN BULAN REJAB



Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah At-Taubah ayat 36: Tafsirannya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi hukum Allah ialah dua belas bulan, yang telah ditetapkan dalam kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama kamu yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu dengan melanggar larangannya. Dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa”.

Daripada Abu Bakrah diriwayatkan oleh Imam Abu Daud bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya zaman itu berputar semenjak mula-mula Allah Subhanahu Wataala menciptakan langit dan bumi, satu tahun mengandungi dua belas bulan, daripadanya empat bulan haram, tiga daripadanya bulan itu berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam dan satu bulan berasingan iaitu Rejab diantara Jamadilakhir dan Syaaban.

Bulan Rejab adalah bulan ketujuh daripada bulan-bulan dalam hitungan tahun qamariah. Rejab bererti kebesaran dan dinamakan Rejab kerana bulan ini sangat dimuliakan pada zaman Jahiliah. Dalam bulan ini juga mencatatkan sejarah penting bagi kehidupan umat Islam kerana dalam bulan ini mengandungi peristiwa Isra’ dan Mikraj Junjungan Nabi Besar kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam satu peristiwa yang kita telah maklum keagungannya.

Umat Islam digalakkan untuk beribadat sebanyak mungkin pada bulan Rejab ini kerana pada bulan ini Allah Subhanahu Wataala banyak memberikan pahala kepada mereka yang mengerjakan ibadat di dalamnya.

Di antara amalan-amalan yang digalakkan ke atas orang-orang Islam untuk mengerjakannya pada bulan Rejab ini ialah:-

Pertama: Membaca Salawat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Umat Islam memang digalakkan untuk membanyakkan membaca salawat pada bila-bila masa terutama pada ketika pahalanya dilipat gandakan di dalamnya seperti pada bulan Rejab kerana membaca salawat sangat besar pahalanya.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :
Ertinya:” Barangsiapa yang membaca salawat untuk Ku satu kali, Allah bersalawat kepadanya sepuluh kali, dan barangsiapa bersalawat sepuluh kali kepada ku, Allah akan bersalawat kepadanya sebanyak seratus kali. Dan barang siapa yang bersalawat kepada Ku seratus kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan dari nifak dan kebebasan dari neraka. Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati syahid”. [Riwayat At-tabrani].

Bayangkanlah betapa beruntungnya orang yang mendapat ucapan salawat dari Allah Subhanahu Wataala disebabkan ia bersalawat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.



Kedua: Bertaubat: Kita digalakkan untuk memperbanyakkan bertaubat pada bulan Rejab kerana bulan ini adalah bulan pengampunan.

Ketiga: Berpuasa: Kita Umat Islam digalakkan untuk banyak berpuasa pada bulan Rejab.




Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi. Tafsirannya: “Sesungguhnya didalam syurga itu terdapat sebuah sungai yang disebutkan sungai Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barangsiapa yang berpuasa satu hari pada bulan Rejab, Allah akan memberinya minum dari sungai itu”.

Keempat: Berdoa : Apabila berada di bulan Rejab, kita berharap agar sampai pula pada bulan Syaaban dan bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan bulan yang dinanti-nanti oleh setiap orang Islam yang sentiasa merindui pahala besar.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam apabila masuk ke bulan Rejab baginda berdoa dengan doa berikut: Maksudnya: “Ya Allah! Berkatilah kami pada bulan Rejab dan bulan Syaaban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.

Telah disebutkan dalam Musnad Imam Ahmad (1/259)


حدثنا عبد الله ، حدثنا عبيد الله بن عمر ، عن زائدة بن أبي الرقاد ، عن زياد النميري ، عن أنس بن مالك قال : كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا دخل رجب قال : اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبارك لنا في رمضان وكان يقول : ليلة الجمعة غراء ويومها أزهر

Menceritakan kepada kami Abdullah, Ubaidullah bin Umar, dari Zaidah bin Abi ar-Raaqod, dari Ziyad an-Numairi, dari Anas bin Malik berkata ia, Adalah Nabi shallallohhu ‘alaihi wasallam apabila masuk bulan Rajab, beliau berdo’a ; “Ya Alloh berkahilah kami dibulan Rajab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami kepada Bulan Ramadhan. Kemudian beliau berkata, “Pada malam jumatnya ada kemuliaan, dan siangnya ada keagungan

Selain daripada itu banyak lagi ibadat-ibadat lain yang mempunyai banyak kelebihan untuk kita amalkan di bulan ini seperti bersedekah dan melakukan amal jariah yang lain. Allah Subhanahu Wataala membukakan pintu rahmat seluas-luasnya bagi mengampunkan dosa-dosa hamba-hambanya yang bertaubat, setiap permohonan kita kepada Allah Subhanahu Wataala pasti akan mendapat balasan jua dan jika kita mempraktikkannya insya-Allah pasti kita akan memperolehi kejayaan dan kebahagian di dunia dan di akhirat.



Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah At-Tahrim ayat 8:
Tafsirannya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan bertaubat nasuha mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai”

Memahami Musibah Daripada Persepsi Positif


Hidup kita di muka bumi ini sering dilanda ujian, dugaan dan musibah. Selalu kita dengar nasihat daripada teman-teman dan sesiapa jua yang menggalakkan kita bersabar, seperti ungkapan ini :

“ Bersabarlah, ini ujian daripada Allah, ada hikmah di sebaliknya... "

Bagaimanakah biasanya penerimaan kita tatkala mendengar ungkapan ini?

Apakah reaksi kita sendiri apabila kita ditimpa musibah dan ujian?

Rata-rata masyarakat sekarang, samada yang memberikan nasihat atau yang menerima nasihat, tidak memahami konsep ungkapan tersebut daripada perspektif yang positif. Malah ada yang memandang negatif atau pun meluat apabila dinasihati supaya bersabar dengan musibah yang melanda. Secara tak langsung, kita sebenarnya menyalahkan takdir ataupun lebih tepat lagi telah bersangka buruk dengan Allah.

Hikmah apa?

Apa hikmahnya?

Nak bersabar macamana lagi?

Aku dah tak ada kesabaran lagi dalam diri aku ini!! Kenapa aku ditakdirkan untuk melalui perkara ini? Aku tak sanggup untuk menderita lagi dan seterusnya.

Firman Allah dalam Hadis Qudsi :

Barang siapa yang bersangka buruk pada-Ku, nescaya Aku akan mengikuti sangkaan-sangkaan buruk hamba-Ku itu.

Mengapakah Allah amat melarang kita daripada bersangka buruk (negative thinking) pada-Nya dalam apa keadaan sekalipun? Walaupun sedang ditimpa musibah?

APAKAH ITU MUSIBAH

Musibah berasal daripada kata ashaaba, yushiibu, mushiibatan yang bererti segala yang menimpa pada sesuatu perkara berupa baik kesenangan mahu pun kesusahan.

Namun, umumnya difahami musibah selalu diidentitikan sebagai kesusahan. Padahal, kesenangan yang dirasakan pada hakikatnya musibah juga. Dengan musibah, Allah hendak menguji sesiapa yang baik amalnya.



Kami membuatkan segala yang di bumi untuk perhiasan baginya, dan supaya Kami menguji siapa antara mereka yang paling baik dalam amalan. (Al-Kahfi: 7)

Ada tiga golongan manusia dalam menghadapi musibah :

a. Pertama adalah golongan yang menganggap bahawa musibah adalah sebagai hukuman dan azab kepadanya. Sehingga, dia selalu merasa sempit dada dan selalu mengeluh.

b. Kedua, golongan yang menilai bahawa musibah adalah penghapus dosa dan dia tidak pernah menyerahkan apa-apa hal yang menimpanya kecuali kepada Allah.

c. Ketiga, golongan yang meyakini bahawa musibah adalah ladang peningkatan iman dan takwa. Golongan yang seperti ini selalu tenang serta percaya bahawa musibah itu, Allah menghendaki pada kebaikan bagi dirinya.

Dalam Hukum Tarikan, kita telah mempelajari bahawa fikiran negatif akan menarik tenaga berfrekuensi negatif kepada kita, dengan bentuk cetusan minda yang kita pancarkan tadi. Firman Allah dalam Hadis Qudsi tadi telah membuktikan hukum ini. Tetapi bagaimanakah untuk tetap bersangka baik walaupun kita sedang mengalami satu situasi yang kita rasakan amat sulit untuk kita bersabar dan bersangka baik?

Disini, amat penting untuk kita memahami dari persepsi positif tentang sesuatu musibah yang melanda. Kita ambil contoh :

Senario pertama

Seorang lelaki yang mengalami sakit pada dadanya. Dia kemudiannya datang berjumpa doktor untuk meminta rawatan dan pertolongan. Setelah diperiksa, maka dia disahkan mengalami kerosakan pada jantung dan perlu dibedah. Ketika dibedah, doktor akan melakukan perkara-perkara yang kita nampak seperti kejam contohnya, membelah dada pesakit, darah yang memercik keluar, dan segalanya yang amat mengerikan.

Tetapi mengapa kita membenarkan perkara ini berlaku tanpa ada rasa marah pada doktor itu? Mengapa kita boleh bersabar menunggu hingga pembedahan selesai, sehingga luka-luka tersebut sembuh, dan akhirnya jantung pesakit itu berjaya diubati, malah pesakit itu berterima kasih pada doktor tersebut?

Ini adalah kerana kita faham, bahawa doktor tersebut bukan berlaku kejam atau sengaja hendak menyeksa pesakit tersebut. Sebaliknya doktor itu bertujuan untuk merawat dan menolong pesakit itu, tetapi terpaksa melalui proses pembedahan yang menyakitkan.

Senario kedua

Kereta anda telah cukup tempoh untuk digantikan timing belt. Anda ke bengkel kereta untuk menggantikan timing belt yang baru. Mekanik akan membuka dan membawa turun enjin kereta anda dan ketika ini kereta anda yang amat anda sayangi kelihatan tak ubah seperti himpunan besi buruk yang berselerak, ketika mekanik sedang melakukan proses memasang timing belt itu. Tetapi anda tidak merasa marah atau runsing kerana anda tahu, selepas segalanya selesai, kereta anda akan kembali seperti keadaan asal. Anda juga sanggup menunggu kereta anda disiapkan dengan sabar. Semua ini adalah kerana anda memahami apa yang berlaku.

Cuba kita renungkan sejenak, dalam kehidupan kita , kebanyakan perkara atau benda yang ingin kita menambahbaik (upgrade) atau ingin dibaiki, pasti akan melalui proses yang membabitkan keadaan tidak selesa/berselerak/bersepah atau buruk, ketika proses upgrade tadi dijalankan. Tidak kira apa jua senarionya, seperti membetulkan sistem paip di dalam rumah, membaik pulih jam tangan, rumah, komputer dan sebagainya. Tetapi apa yang kita tahu, sebaik sahaja proses membaik pulih ini selesai, segalanya akan menjadi lebih baik dan lebih produktif. Seperti komputer yang telah diupgradekan, ditukar RAM dan lain-lain, ianya akan berfungsi lebih laju dan efisien.

Maka begitu jugalah dengan sesuatu musibah yang melanda diri kita. Bukankan kita semua selalu mendengar dan bersetuju dengan ungkapan ini :

" Yang baik itu dari Allah, yang khilaf itu dari kelemahan manusia sendiri... "

Benar!

Allah hanya memberikan yang terbaik sahaja pada semua hamba-hamba-Nya. Maka cubalah kita ubah pandangan kita terhadap apa jua musibah yang melanda diri kita kepada 'proses pembaikan/perawatan' dari Allah supaya diri manusia itu bersedia untuk menerima kebaikan yang ingin diberikan Allah pada manusia itu, kerana, mungkin sekiranya tanpa melalui suatu proses pembaikan/perawatan hamba tersebut tidak dapat/tidak bersedia untuk menerima pemberian yang ingin diberikan kepadanya.

Maka kerana itulah, kita selalu mendengar ungkapan :

Apabila Allah ingin memberikan kebaikan pada hamba-hambanya, Dia akan mulakan dengan musibah.

Maka sekarang kita lebih nampak dan faham apakah sebenarnya musibah itu, dan faham apakah yang dimaksudkan dengan 'ada hikmah disebaliknya'.

Sebenarnya, apabila dilanda musibah, kita perlu memahami/ beranggapan bahawa apa yang kita doakan telah dimakbulkan Allah maka kerana itulah, proses pembaikan/rawatan ini melanda kita, kerana sesuatu yang kita doakan/hajatkan selama ini telah dimakbulkan. Bukan sahaja dalam kes penyakit, musibah boleh juga dalam bentuk kegawatan ekonomi, masalah rumahtangga, masalah anak-anak, kerjaya dan sebagainya. Selidikilah dan renung-renungkanlah, apakah yang kita pernah doakan dan apakah sebenarnya sedang kita lalui dalam apa jua masalah hidup yang melanda kita.

Seperti diterangkan pula dalam hadis sahabat Abu Hurairah bahwa Nabi S.A.W bersabda :

“ Tiada apapun yang menimpa seorang Mukmin berupa bencana dan menderita kesusahan, kecuali semua itu menjadi sebab untuk menghilangkan dosa-dosanya. ”

(HR Bukhari dan Muslim).

Sahabat Ibnu Mas’ud juga meriwayatkan dari hadis lain, ia menyebut :

“ Bahawasanya tiada seorang muslim pun yang tertimpa kerosakan dan penyakit, atau bencana yang lebih ringan lagi, kecuali Allah Ta’ala akan menggugurkan dosa dosanya, bagaikan gugurnya daun dari dahan pohon. ”

Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah ra. meriwayatkan pula sabda junjungan Rasulullah S.A.W :

“ Barangsiapa diuji dengan beberapa kesulitan, dan ia dapat mengatasi kesulitan itu dengan ketabahan dan menerimanya dengan ikhlas, tertulis baginya di sisi Allah dengan darjat yang mulia dan dihapus dosa dosanya. ”

Wednesday, May 5, 2010

Wednesday, April 7, 2010

TENANGLAH HATI

Kepada Allah semua kan berakhir
Waktu dan dunia hanyalah milikNya
Suka dan duka bagai nyanyian
Yang mengiringi setiap langkah kita

Teranglah hati teranglah jiwa
Teranglah hidup dengan rahmatNya
Dan diberikan segala ampunan
Untuk tiap diri dengan ketaubatan

Rasanya tiada lagi dalam dunia ini suatu perjanjian yang paling hebat dan kuat selain perjanjian yang dibuat atas nama keagunganNya. Tiada lagi yang selayaknya untuk diletakkan puncak tawakal selain pada yang Menciptakan.

Walau kedengarannya asing bagi yang tidak biasa, tapi itulah hakikatnya. Perjanjian tanpa hitam putih namun atas dasar yakin padaNya adalah perjanjian terkuat.Tiada siapa layak memutuskan kecuali Dialah juga.

Suka, duka, adat dalam dunia
Moga tak terjebak berlebihan kerananya!

DOA SELEPAS SOLAT

Ertinya:
“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang segala puji bagi Allah Tuhan Pentadbir seluruh alam. Pujian yang melengkapi nikmat-Nya, dan pujian yang menambahkan kelebihan-Nya, wahai Tuhan kami, bagiMu segala puja-puji sebagaimana patut kerana kebesaran zatMu dan agung kekuasaanMu”



Ertinya:
“Ya Allah! Tolonglah kami supaya ingat kepadaMu, syukur kepadaMu dan elok ibadah kepadaMu.”



Ertinya:
“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kesusahan dan kedukaan. Aku berlindung kepadaMu dari lemah kemahuan dan kemalasan.Aku berlindung kepadaMu dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepadaMu dari banyak hutang dan kezaliman manusia.”



Ertinya:
“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, segala puji adalah semata-mata untuk Allah, Tuhan Pemerintah alam. Selawat dan salam adalah untuk junjungan besar semulia-mulia Nabi dan Rasul dan begitu juga ke atas keluarga serta sahabat baginda kesemuanya.

Ya Allah! Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami memohon supaya Engkau memelihara kami. KepadaMulah kami pertaruh agama kami. Ahli keluarga kami, harta-harta kami. Ya Allah, jadikanlah kami dan mereka itu di dalam pemeliharaan, perlindungan, keamanan dan penjagaanMu daripada semua syaitan, dan yang mempunyai mata yang mempunyai kedengkian dan yang mempunyai kejahatan. Sesungguhnya Engkau di atas tiap-tiap sesuatu itu Maha Berkuasa.”



Ertinya:
“Ya Allah! Perbaikilah perdamaian kami dan lembutkan antara hati-hati kami dan tunjukkan kami jalan keselamatan dan lepaskan kami daripada kegelapan kepada cahaya dan jauhkan kami daripada sebarang kejahatan samada yang terang atau yang tersembunyi. Ya Allah, berkatilah pada pendengaran dan penglihatan kami dan hati-hati kami dan isteri kami dan keturunan kami dan berilah kami taubat, sesungguhnya Engkau Maha Memberi taubat lagi Maha Penyayang dan jadikanlah kami syukur di atas nikmat-nikmatMu, memuji dengan nikmat pemberianMu menerima dengan pemberian akan nikmatMu dan sempurnakan nikmatMu ke atas kami.”



Ertinya :
“Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebajikan dunia dan kebajikan di akhirat dan pelihara kami daripada azab neraka. Rahmat Allah ke atas penghulu kita, Nabi Muhammad (S.A.W) ke atas keluarga dan para sahabat semuanya. Maha Suci Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai sifat kemuliaan daripada apa yang mereka gambarkan. Dan, kesejahteraan ke atas segala Rasul dan segala puji semata-mata untuk Allah yang memerintah sekelian alam.”

Monday, March 1, 2010

Mari Mengenal Baginda Rasulullah

Apakah kita benar-benar mengenal Nabi Muhammad SAW, iaitu mengenal secara lahir dan batin, jasmani, maknawi dan rohaninya? Atau kita hanya mengenal secara lahirnya saja, tidak lebih dari itu? Atau mengenal secara rambang saja?

Sebenarnya kalau manusia mengenal peribadi Nabi Muhammad SAW secara lahir dan batin, jasmani, rohaniahnya, pasti manusia jatuh hati kepadanya. Kita akan cinta, menyebut selalu namanya, melalui selawat dan ingatan terhadapnya. Kita akan terasa terhutang budi kepadanya, kerana kedatangannya dan jasanya kepada dunia.

Baginda Rasulullah Nabi Muhammad SAW seorang manusia yang istimewa, luar biasa yang tiada taranya. Dia adalah manusia yang paling mulia di sisi Allah Taala. Mari kita bercerita tentangnya secara ringkas agar kita mengenal Nabi kita sendiri, siapa dia yang sebenarnya?

Dia adalah Sayidina Muhammad bin Abdullah, ibunya Aminah. Bangsa Quraisy dari Bani Hasyim. Nasabnya sampai kepada Nabi Ibrahim. Dia adalah anak yatim piatu. Seorang anak yang tidak pernah dapat bermanja dengan ibu bapanya seperti orang lain. Dia lahir dari keluarga yang miskin dan dipelihara oleh keluarga yang miskin.

Dia adalah makhluk yang pertama dan utama yang paling dicintai oleh Tuhan. Iaitu yang diberi nama Nur Muhammad. Dari Nur Muhammad itulah seluruh yang ada dicipta dan diwujudkan. Syurga, Neraka, dunia, Akhirat, para malaikat, Arasy, Kursi, Syirat, manusia, jin, haiwan, jamadat dan lain-lainnya, kalau bukan karena Nabi Muhammad SAW, tidak akan diwujudkan.

Kalau begitu, rupanya Nabi kita membawa rahmat lahir dan batin kepada semua makhluk Tuhan. Dia adalah makhluk yang awal wujud nisbah roh, yang akhir nisbah jasad dikalangan para nabi. Dia adalah satu-satunya Nabi yang diisrakkan dan dimikrajkan. Mukanya laksana bulan purnama karena cahayanya yang terang.

Dia hamba Allah yang paling bertaqwa dan paling takut dengan Tuhan. Kerana itulah dia dipanggil Habibullah oleh Allah, ketua seluruh para rasul dan para anbiya, penghulu seluruh orang yang bertaqwa, imam seluruh manusia. Syariatnya untuk seluruh jin dan manusia dan penutup seluruh syariat. Orang yang memberi syafaatul kubra di Akhirat dan orang yang pertama masuk Syurga.

Al Quran kitab yang diturunkan kepadanya paling lengkap. Merupakan mukjizatnya yang kekal dan paling agung. Tiada siapa yang dapat menirunya. Dia memiliki ilmu dunia dan Akhirat, sekalipun dia tidak menulis dan membaca. Nabi kita mempunyai akhlak yang paling mulia yang tiada taranya. Bahkan lebih mulia daripada para malaikat. Terutama kasih sayangnya kepada manusia begitu nyata sekali. Tawadhuknya atau merendah diri, pakaian peribadinya. Kerana itulah dia sanggup duduk, makan, minum, tidur, baring dengan fakir miskin, menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah. Tiada seorang pun yang melihat mukanya melainkan jatuh cinta kepadanya. Bahkan macam orang mabuk tidak akan melupakannya. Sangat kasih dan simpati dengan fakir miskin, anak-anak yatim dan janda-janda. Pemurahnya laksana angin kencang yang sangat lajunya. Orang yang bergaul dengannya macam-macam dapat dirasa.

Adakalanya laksana ibu dan ayah, adakalanya macam kawan yang membela dan setia, adakalanya dirasakan guru, adakalanya bagaikan pemimpin, dan adakalanya juga bagaikan ketua tentara. Setiap orang yang semajlis dengannya merasakan dapat layanannya yang memuaskan darinya. Kerana akhlaknya yang tinggi, dia dapat pujian daripada Tuhannya. Keberaniannya luar biasa. Dia sanggup berjalan di hadapan musuh- musuhnya seorang diri, tidak sedikit pun takut dengan raja-raja. Setiap orang yang meminta, tidak pernah dikecewakan, sekalipun terpaksa berhutang dengan manusia.

Ibadahnya banyak sekali, terutama solat hingga bengkak-bengkak kakinya kerana begitu lama berdiri di hadapan Tuhannya. Tidak pernah mendoakan musuh-musuhnya dengan kejahatan. Sangat suka meminta maaf dan memberi maaf kepada sesiapa saja. Dia membalas kejahatan orang dengan kebaikan, satu perbuatan yang luar biasa. Tidak pernah menghina, mencaci dan merendah-rendahkan orang lain. Sangat pemalu dan merendah diri. Sangat menerima keuzuran orang. Sangat tahan menerima ujian yang berbagai-bagai keadaan dan bermacam-macam bentuknya. Karena itulah dia dapat menjadi ketua Ulul Azmi dari keseluruhan para rasul `alaihimusshalatu wasallam. Dia suka kepada seseorang kerana Allah dan murka juga kerana Allah.

Hatinya begitu jaga, matanya saja yang tidur tapi hatinya tidak tidur. Kerana itulah dia tidur tidak membatalkan wudhuknya. Di dalam hidupnya 74 kali berlaku peperangan 27 kali dia ikut sama atau ikut serta, tapi pelik, dia tidak pernah membunuh musuh-musuhnya walaupun seorang. Anak- anak didikannya, itulah dia para Sahabat hingga dia berkata: "Sahabat-Sahabatku laksana bintang-bintang di langit, yang mana satu yang kamu ikut, kamu akan mendapat petunjuk. Para ulama umatku, laksana para-para nabi Bani Israil". Julukan ini tidak didapati oleh umat-umat nabi sebelumnya.

Kerana menegakkan kebenaran, pernah dilemparkan dengan najis, dilempar dengan batu hingga berdarah, dibuang daerah selama tiga tahun, dikepung hendak dibunuh, berhijrah meninggalkan tanah air dan mendapat berbagai-bagai kesusahan dan penderitaan.

Kemuliaannya di sisi Allah Taala begitu ketara dan nyata, iaitu namanya digandingkan dengan nama Tuhannya, yaitu di dalam dua kalimah syahadah. Bahkan tidak sah Islam seseorang kalau tidak diucapkan namanya bersama dengan nama Tuhannya. Doa yang hendak dikabulkan, di awal dan akhirnya hendaklah menyebut namanya. Doanya sangat makbul, bahkan siapa yang berdoa, bertawasul dengannya lebih diterima doanya. Siapa yang banyak berselawat dengannya, diberi syafaat di Akhirat. Siapa yang selalu menyebut namanya diturunkan rahmat dan berkat.

Mukjizat-mukjizatnya yang begitu banyak menunjukkan kebenarannya. Tertulis di belikatnya khatamun nubuwwah. Peluhnya bak mutiara, wanginya lebih wangi daripada kasturi. Orang tidak dapat menentang matanya karena kehebatannya yang amat nyata di wajahnya. Terutama musuh-musuhnya, pasti menundukkan pandangannya bila bertatap pandang dengannya. Banyak perkara-perkara ghaib yang dibuka oleh Allah Taala kepadanya, sehingga sebagian perkara-perkara yang belum terjadi, seperti peristiwa akhir zaman dapat diceritakannya.

Begitu kuat tawakalnya kepada Allah Taala hingga makanan yang berlebih tidak disimpan di malamnya, bahkan diberikan kepada yang berhak. Apabila dia buang air, tidak ada kesannya selepas membuangnya. Lalat tidak pernah hinggap pada badannya. Kalau dia berpaling, dia berpaling dengan seluruh badannya. Tidak pernah makan seorang diri melainkan berkawan. Tidak pernah mencerca makanan. Kalau dia tidak suka, dia tidak makan makanan itu. Sangat menghormati dan memuliakan tetamunya. Begitu menjaga hak-hak jirannya sekalipun orang kafir. Lebih mengutamakan orang lain daripada dirinya sendiri. Tidak pernah melaknat, sekalipun terhadap binatang.

Apa yang diperkatakannya, ibarat mutiara. Kerana itulah sangat mempengaruhi orang yang mendengarnya. Didikan dan pimpinannya sangat berjaya. Di antara kesan didikan dan pimpinannya yang telah berlaku yang telah dicatat dalam sejarah, dapat melahirkan manusia yang sangat mencintai dan menakuti Allah Taala. Bahkan Tuhan dijadikan idola mereka. Dapat menyatupadukan manusia yang berbagai-bagai etnik, puak, kaum, bangsa dan yang berlainan warna kulit, bahasa dan budaya. Bahkan dapat menanamkan kasih sayang satu sama lain di kalangan manusia. Melahirkan manusia yang begitu taat dan patuh kepada syariat Tuhannya. Berjaya melahirkan manusia yang tinggi akhlak dan moralnya. Mampu menjadikan dunia bersih daripada noda dan dosa. Berjaya menjadikan setiap orang rasa berpuas hati di bawah naungan pimpinannya, sekalipun yang bukan Islam. Mereka merasakan dia adalah pelindung dan penyelamat kepada seluruh makhluk, sekalipun binatang.

Itulah dia Muhammad Rasulullah SAW. Itulah dia nabi kita, manusia luar biasa, yang istimewa, yang kejadian dan akhlaknya paling sempurna, tidak ada tandingannya. Baru sedikit saja kita ceritakan tentangnya, sudah mengagumkan kita. Apakah peribadi yang semacam ini kita tidak jatuh hati kepadanya? Apakah manusia seumpama ini kita bisa melupakan begitu saja? Apakah kita tidak terasa, dia adalah manusia yang begitu berjasa kepada seluruh manusia? Apakah kita tidak terasa terhutang budi kepadanya? Bahkan patut bersyukur kepadanya sepanjang masa. Bolehkah kita samakan dia dengan pemimpin-pemimpin yang lain di dunia? Jauh panggang dari api, macam langit dengan bumi.

Lantaran itulah, orang yang benar-benar mengenal Nabinya bersama Tuhannya, sanggup mati kerananya. Patut sangatlah dia menjadi idola dan ikutan kita, agar kita menjadi satu bangsa yang bertuhan, merdeka, bersatu, berakhlak mulia, bertamadun, berkasih sayang, bertolong bantu, berharmoni, bermaruah, bersih dari noda dan dosa. Allah dan Akhirat menjadi matlamat hidup kita.