Keberanian Umar cetus kebangkitan umat Islam
SAIDINA Umar tidak pernah mendapat pendidikan sekolah, apa lagi merantau ke pelosok negeri untuk menuntut ilmu atau hidup di kalangan ahli pemikir. Tetapi dia berjaya memberi contoh kepada kaumnya dalam mengurus pemerintahan dan kekuasaan yang penuh dengan keadilan, kebijaksanaan, keutamaan dan berlandaskan fiqh (hukum) Islam.
Sebelum memeluk Islam, Umar dikenali di kalangan kaumnya sebagai utusan yang mampu berdiskusi, berdialog dan menyelesaikan pelbagai urusan. Dia juga pedagang yang mahir dan tekun dalam perdagangannya.
Umar dikenali sebagai orang yang mempunyai peribadi kasar, kukuh dalam memegang prinsip dan berkedudukan tinggi. Oleh kerana itulah dia digelar Al-Faruq Umar Ibnul Khattab.
Selepas memeluk Islam, Umat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya, Rasulullah, mengapa kita bersembunyi dalam menyiarkan agama kita, pada hal kita berada di atas kebenaran dan mereka (kaum kafir) kebatilan?”
Rasulullah SAW menjawab: “Jumlah kita sedikit dan kamu dapat melihat sendiri apa yang selalu kita alami.”
Umar berkata lagi: “Demi yang mengutus engkau dengan hak, akan berjanji bahawa tiap-tiap tempat yang pernah aku sebarkan kekafiran, akan aku datangi untuk menyebarkan keimanan.”
Pada suatu hari Rasulullah SAW bersama kaumnya menuju Kaabah dengan dua barisan. Barisan pertama dipimpin oleh Hamzah dan kedua dipimpin oleh Umar. Ketika melihat barisan yang dipimpin oleh Hamzah dan Umar, kaum kafir tampak muram dan kecut hatinya. Maka, sejak itul Rasulullah SAW memberi gelaran “Al-faruq” bererti “pembeza di antara hak dengan batil” kepada Umar.
Ketika kaum Muslimin hijrah ke Madinah, mereka seluruhnya meninggalkan kota Makkah secara sembunyi-sembunyi kecuali Umar. Hanya Umar yang hijrah secara terang-terangan.
Dia sengaja pergi pada siang hari dan melalui gerombolan Quraisy. Ketika melalui mereka, Umar berkata: “Aku akan meninggalkan Makkah dan berhijrah ke Madinah. Barang siapa yang ingin menjadikan ibunya kehilangan puteranya atau ingin anaknya menjadi yatim, silakan menghadang aku di belakang lembah ini!”
Mendengar perkataan Umar yang gagah itu, tidak seorang pun yang berani mengekori apa lagi mencegah Umar.
Itulah kekuatan yang dimiliki Umar sejak awal keimanannya hingga dalam mengharungi seluruh kehidupannya.
Pada zaman seperti ini, alangkah perlunya kita memiliki orang seperti Umar. Kuat jiwa raganya dan kukuh keperibadiannya. Kerana Allah senang kepada orang yang berjiwa kuat dan benci kepada orang berjiwa lemah.
Apa yang dapat membangkitkan kejayaan Islam adalah apa dan bagaimana yang pernah dikerjakan kaum Muslimin terdahulu.
Ketokohan Umar turut terserlah ketika peristiwa Siti Aisyah difitnah. Rasulullah SAW bermusyawarah dengan beberapa tokoh sahabat untuk meminta pandangan mereka.
Ketika Baginda berbicara dengan Umar, dia berkata “Ya, Rasulullah, siapakah yang mengahwinkan Rasulullah dengan Aisyah?” Nabi SAW menjawab: “Allah”.
Umar bertanya lagi: “Apakah Allah menipu anda?”
“Maha suci, Engkau, ya, Allah, sesungguhnya ini berita bohong yang besar,” ucap Rasulullah SAW.
Selepas Baginda mengucapkan itu, turunlah firman Allah bermaksud: “Dan mengapa kamu tidak berkata, waktu mendengar berita bohong itu: “Sekali-kali tidaklah patut bagi kita memperkatakan ini. Maka Suci Engkau (Ya Rabb kami), ini adalah dusta yang besar.” (Surah an-Nuur, ayat 16).
No comments:
Post a Comment