Adakah Anda Seorang Yang Ikhlas
KITA mungkin selalu mendengar orang berkata,"saya ikhlas." Tapi itu sekadar adat berbahasa kerana tidak ada siapa pun tahu keikhlasan seseorang. Malah hati sendiri pun susah hendak diteropong sama ada ikhlas atau tidak ikhlas. Tapi sekurang-kurangnya keikhlasan dapat dibaca pada sikap dan tindak-tanduk kita. Cuba-cubalah kuiz ini.......
1. Anda sedang melangkah ke majlis pengajian di surau apabila ada yang menegur. "Rajin ke surau nampaknya, tak lama lagi bolehlah jadi ustazah/ustaz." Reaksi anda?
A. Teragak-agak hendak meneruskan langkah.
B. Terus melangkah dengan sopan sambil berkata, "Amin, mudah-mudahan begitulah hendaknya..."
2. Anda sangat menjaga waktu solat bila bersama rakan-rakan sealiran. Bila berseorangan?
A. Hilang kekuatan dan selalu lewat solat.
B. Alhamdulillah,dapat pertahankan solat pada awal waktu.
3. Ada orang mengutip derma untuk kebajikan. Ketika itu anda hanya ada sedikit wang tapi tidak dapat mengelak. Bicara hati anda?
A. "Hai...melayanglah duit belanja aku..."
B. "Moga-moga Allah nilai dan Allah ganti dengan yang lebih baik."
4. Anda dipuji seseorang. Rasa hati anda?
A. Bangga tidak terperi.
B. Mengembalikan pujian kepada Allah.
5. Anda bermuka manis dan memberi senyuman kepada seorang teman, tapi dia seakan tidak memberi respons sahaja. Komen anda?
A. "Malas nak senyum-senyum lagi kat dia."
B. "Agaknya mood dia tak berapa baik hari ni...Ada masalah agaknya."
6."Amboi! Alim nampak..." tegur seorang kawan apabila melihat anda pertama kali berserban. Reaksi anda?
A. Tersinggung,rasa macam kena perli.
B. Tenang dan masih boleh bermuka manis.
7. Mudahkah bagi anda untuk konsisten membuat sesuatu amalan baik?
A. Susah
B. Mula-mula memang susah, tapi lama-kelamaan rasa seronok pula.
8. Anda dilucutkan jawatan dalam persatuan dan menjadi ahli jawatankuasa biasa. Bicara hati anda?
A. "Tidak ada moodlah nak buat apa-apa lagi...."
B. "Tak apalah, asalkan aku dapat terus berkhidmat bakti."
9. Anda telah bersusah payah menjayakan sesuatu projek, tetapi tiada siapa pun yang menghargai. Reaksi anda?
A. Kecil hati dan hilang mood hendak buat lagi.
B. Tetap bahagia kerana sudah berjaya sambil mengharap Allah terima sebagai ibadah.
10. Anda ternampak seorang wanita daif menggunakan duit sedekah daripada anda untuk membeli rokok. Bicara hati anda?
A. "Tak patut sungguh.Ishh...menyesal pulak sedekah kat dia..."
B. "Tak patut dia buat macam tu.Tapi tak apalah, mudah-mudahan dia dapat hidayah dan moga-moga sedekah aku tetap Allah terima."
(Beri satu markah untuk diri anda bagi setiap jawapan 'B')
ANALISIS MARKAH
10: Anda masih tidak boleh mendakwa sebagai seorang yang ikhlas, kerana keikhlasan itu rahsia Allah.Hanya Allah yang dapat menilainya.Tetapi tanda-tanda keikhlasan sedikit sebanyak ada pada diri anda.Jangan jemu mencari keredhaan-Nya kerana Dia tidak pernah jemu menerima pengabdian daripada hamba-Nya.
7-9: Tahap keikhlasan anda belum sepenuhnya.Tetapi keihlasan boleh diusahakan.Buatlah sebanyak mungkin kebaikan.Walaupun pada peringkat awalnya anda benar-benar tidak ikhlas, mudah-mudahan lama-kelaman apabila kebaikan itu menjadi sebati, akhirnya Allah campakkan keikhlasan di hati kita.jangan lupa berdoa agar Allah masukkan kita ke dalam golongan hamba-hamba-Nya yang ikhlas.
6 ke bawah: Mungkin tahap keikhlasan anda sangat kurang disebabkan anda belum dapat hayati tujuan sebenarnya hidup ini; untuk apa dan kerana siapa.Carilah keredhaan Allah, bukan keredhaan manusia.Bumi yang kita pijak ini milik Allah, kenalah kita berjaga-jaga dengan pandangan Allah.Yakinlah, sungguhpun manusia suka atau tak suka, ia tetap tak menjejaskan kita kalau Allah suka dan sayangkan kita.Kita hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah, bukan untuk manusia.
No comments:
Post a Comment