Saturday, February 20, 2010

KELEBIHAN AYAT KURSI
Undur Depan

Dari Anas bin Malik r.a. berkata, "Rasulullah S.A.W bersabda : Apabila seseorang dari umatku membaca ayat Kursi 12 kali, kemudian dia berwuduk dan mengerjakan solat subuh, nescaya Allah akan menjaganya dari kejahatan syaitan dan darjatnya sama dengan orang yang membaca seluruh al-Quran sebanyak tiga kali, dan pada hari kiamat ia akan diberi mahkota dari cahaya yang menyinari semua penghuni dunia."

Berkata Anas bin Malik, "Ya Rasulullah, apakah hendak dibaca setiap hari?"

Sabda Rasulullah S.A.W, " Tidak, cukuplah membacanya pada setiap hari Jumaat."

Umat-umat dahulu hanya sedikit saja yang mempercayai rasul-rasul mereka dan itu pun apabila mereka melihat mukjizat secara langsung. Kita sebagai umat Islam tidak boleh ragu-ragu tentang apa yang diterangkan oleh Allah dan Rasul. Janganlah kita ragu-ragu tentang al-Quran, hadis dan sunnah Rasul kita. Janganlah kita menjadi seperti umat yang terdahulu yang mana mereka itu lebih suka banyak bertanya dan hendak melihat bukti-bukti terlebih dahulu sebelum mereka beriman.

Setiap satu yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W kepada kita adalah untuk kebaikan kita sendiri. Rasulullah S.A.W menyuruh kita mengamalkan membaca surah Kursi. Kehebatan ayat ini telah diterangkan dalam banyak hadis. Kehebatan ayat Kursi ini adalah untuk kita juga, yakni untuk menangkis gangguan syaitan dan kuncu-kuncunya di samping itu kita diberi pahala.

Begitu juga dengan surah al-Falaq, surah Yasin dan banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang mempunyai keistimewaannya. Setiap isi al-Quran itu mempunyai kelebihan yang tersendiri. Oleh itu kita umat Islam, janganlah ada sedikit pun keraguan tentang ayat- ayat al-Quran, hadis Nabi dan sunnah Baginda S.A.W. Keraguan dan was-was itu datangnya dari syaitan.
Keberanian Umar cetus kebangkitan umat Islam
SAIDINA Umar tidak pernah mendapat pendidikan sekolah, apa lagi merantau ke pelosok negeri untuk menuntut ilmu atau hidup di kalangan ahli pemikir. Tetapi dia berjaya memberi contoh kepada kaumnya dalam mengurus pemerintahan dan kekuasaan yang penuh dengan keadilan, kebijaksanaan, keutamaan dan berlandaskan fiqh (hukum) Islam.

Sebelum memeluk Islam, Umar dikenali di kalangan kaumnya sebagai utusan yang mampu berdiskusi, berdialog dan menyelesaikan pelbagai urusan. Dia juga pedagang yang mahir dan tekun dalam perdagangannya.

Umar dikenali sebagai orang yang mempunyai peribadi kasar, kukuh dalam memegang prinsip dan berkedudukan tinggi. Oleh kerana itulah dia digelar Al-Faruq Umar Ibnul Khattab.

Selepas memeluk Islam, Umat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya, Rasulullah, mengapa kita bersembunyi dalam menyiarkan agama kita, pada hal kita berada di atas kebenaran dan mereka (kaum kafir) kebatilan?”

Rasulullah SAW menjawab: “Jumlah kita sedikit dan kamu dapat melihat sendiri apa yang selalu kita alami.”

Umar berkata lagi: “Demi yang mengutus engkau dengan hak, akan berjanji bahawa tiap-tiap tempat yang pernah aku sebarkan kekafiran, akan aku datangi untuk menyebarkan keimanan.”

Pada suatu hari Rasulullah SAW bersama kaumnya menuju Kaabah dengan dua barisan. Barisan pertama dipimpin oleh Hamzah dan kedua dipimpin oleh Umar. Ketika melihat barisan yang dipimpin oleh Hamzah dan Umar, kaum kafir tampak muram dan kecut hatinya. Maka, sejak itul Rasulullah SAW memberi gelaran “Al-faruq” bererti “pembeza di antara hak dengan batil” kepada Umar.

Ketika kaum Muslimin hijrah ke Madinah, mereka seluruhnya meninggalkan kota Makkah secara sembunyi-sembunyi kecuali Umar. Hanya Umar yang hijrah secara terang-terangan.

Dia sengaja pergi pada siang hari dan melalui gerombolan Quraisy. Ketika melalui mereka, Umar berkata: “Aku akan meninggalkan Makkah dan berhijrah ke Madinah. Barang siapa yang ingin menjadikan ibunya kehilangan puteranya atau ingin anaknya menjadi yatim, silakan menghadang aku di belakang lembah ini!”

Mendengar perkataan Umar yang gagah itu, tidak seorang pun yang berani mengekori apa lagi mencegah Umar.

Itulah kekuatan yang dimiliki Umar sejak awal keimanannya hingga dalam mengharungi seluruh kehidupannya.

Pada zaman seperti ini, alangkah perlunya kita memiliki orang seperti Umar. Kuat jiwa raganya dan kukuh keperibadiannya. Kerana Allah senang kepada orang yang berjiwa kuat dan benci kepada orang berjiwa lemah.

Apa yang dapat membangkitkan kejayaan Islam adalah apa dan bagaimana yang pernah dikerjakan kaum Muslimin terdahulu.

Ketokohan Umar turut terserlah ketika peristiwa Siti Aisyah difitnah. Rasulullah SAW bermusyawarah dengan beberapa tokoh sahabat untuk meminta pandangan mereka.

Ketika Baginda berbicara dengan Umar, dia berkata “Ya, Rasulullah, siapakah yang mengahwinkan Rasulullah dengan Aisyah?” Nabi SAW menjawab: “Allah”.

Umar bertanya lagi: “Apakah Allah menipu anda?”

“Maha suci, Engkau, ya, Allah, sesungguhnya ini berita bohong yang besar,” ucap Rasulullah SAW.

Selepas Baginda mengucapkan itu, turunlah firman Allah bermaksud: “Dan mengapa kamu tidak berkata, waktu mendengar berita bohong itu: “Sekali-kali tidaklah patut bagi kita memperkatakan ini. Maka Suci Engkau (Ya Rabb kami), ini adalah dusta yang besar.” (Surah an-Nuur, ayat 16).

Friday, December 18, 2009

DOA ITU IBADAT

Doa tidak termakbul disimpan untuk akhirat

BERDOA adalah suatu ibadat. Insan dianggap melakukan kebaktian dan ibadat ketika berdoa kepada Tuhannya. Sama ada sesuatu doa dimakbul atau tidak, pahalanya sentiasa ada di sisi Allah. Justeru, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Doa adalah ibadat." Setiap doa pula dimakbulkan dari tiga segi, iaitu:

Doa yang dimakbulkan segera di dunia. Inilah yang biasanya menjadi harapan setiap orang yang berdoa. Ramai di kalangan insan yang memperoleh kurniaan hasil kesungguhan mereka berdoa. Kadangkala dengan begitu pantas dan kadangkala lewat disebabkan hikmah yang hanya Allah Maha Mengetahui. Tidak mustahil Allah menerima doa seseorang yang sama sekali dianggap mustahil oleh manusia.

Doa yang tidak dimakbulkan di dunia, tetapi disimpan untuk balasan kebaikan di akhirat di atas hikmah yang hanya dikehendaki Allah. Jika ia berlaku, hendaklah difahami bahawa ia adalah pilihan terbaik daripada Allah untuk hamba-Nya. Akhirat adalah kehidupan yang hakiki, kebaikan di sana tidak ada tukar ganti dengan dunia yang sementara.

Allah tidak memakbulkan sesuatu doa secara mutlak di dunia kerana Allah Maha Mengetahui segala rahsia kehidupan alam, baik atau buruk di sebalik sesuatu perkara yang dimohon. Akal manusia kadangkala tidak mampu menjangkau hakikat sesuatu. Doa diganti dengan keselamatan diri daripada keburukan yang akan menimpa. Insan terselamat daripada betapa banyak keburukan bukan kerana kehebatannya atau kebijaksanaannya tetapi kerana rahmat Allah yang barangkali berpunca daripada pelbagai doa kepada Allah.

Sesungguhnya, setiap Muslim wajar berdoa kepadaNya dan jangan berputus asa untuk mendapatkan rahmatnya, selagi ia untuk kebaikan diri kita dan sesama insan serta meminta perlindungan daripadaNya.

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :
"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
..dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan
taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."

Wednesday, July 29, 2009

Thursday, May 21, 2009

KAABAH ENGGAN BERGERAK...........

Tuan Guru Haji Mohd Baqi Osman, tok guru dah mula kuliah. Beliau
menceritakan tentang peristiwa yang bakal berlaku di akhirat
kelak.Tentang syurga, tentang neraka. Para jemaah masing-masing diam,
tunduk dan insaf. Salah satu cerita menarik yang disampaikan oleh tok
guru iaitu berkaitan dengan titian As Sirat. Jambatan yang merentangi
neraka menuju ke syurga itu bersifat fleksibel. Ia boleh membesar,
mengecil, memendek dan memanjang mengikut kumpulan yang akan
melintasinya.

Jika orang beriman, pastilah ia akan melebar dan memendek. Manakala
bagi orang kafir, ia akan mengecil dan memanjang. Antara yang akan
turut berarak menuju ke syurga ialah kaabah. Malaikat datang membawa
perintah Allah kepada kaabah yang dihias indah pada hari itu supaya
bergerak menuju ke syurga.

Yang menghairankan, biarpun kaabah tahu itu perintah Allah, namun ia
enggan bergerak. Lalu malaikat bertanya kenapa enggan bergerak ke
syurga. Kaabah menjawab bahawa ia tidak akan bergerak ke syurga
melainkan jika diiringi oleh semua manusia yang pernah tawaf di
sekelilingnya.
Lalu malaikat mengumpulkan semua yang pernah tawaf untuk mengiringi
kaabah ke syurga. Kaabah terus mendiamkan diri tak mahu bergerak.
Malaikat bertanya lagi kenapa tak mahu bergerak. Kaabah menjawab, ada
lagi beberapa orang yang tidak hadir.. Apabila diperiksa, rupa-rupanya
orang-orang berkenaan telah dilempar ke dalam neraka kerana kesalahan
yang pernah mereka lakukan di dunia.

Malaikat maklumkan bahawa orang berkenaan adalah orang-orang yang
berdosa dan perlu disiksa di dalam neraka.

Kaabah berkata, ia tidak peduli orang itu berdosa atau tidak. Yang
penting ia tidak akan bergerak ke syurga melainkan diiringi oleh semua
orang yang pernah tawaf di sekelilingnya.
Malaikat mengadu kepada Allah tentang hal yang berlaku....Allah yang
Maha Pengampun dan Maha Mengasihani terus mengisytiharkan bahawa
orang-orang itu telah diampunkan dosa mereka. Mereka lantas di bawa
keluar daripada neraka dan mengiringi kaabah menuju ke syurga....
How nice kan .... bersyukur sekiranya dapat mengerjakan haji dan
umrah.....

Satu motivasi bagi rakan-rakan yang mampu untuk ke Mekah..sila2kanlah
menjadi tetamu Allah..pergilah ketika masih muda dan kuat agar setiap
langkah dan setiap nafas kita gagah dan diberkati oleh Allah
swt...Kebahagiaan itu pasti datang, namun sejauhmanakah kita
mengingati Allah swt dalam setiap urusan dunia kita?

Saturday, May 2, 2009

DOA


Ya Allah Ya Tuhan Kami, berilah cahaya pada hati kami, lidah kami, penglihatan kami, pendengaran kami, di kanan kami, di kiri kami, di atas kami, di bawah kami, di hadapan kami, di belakang kami, dan pada diri-diri kami. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau. Maha Suci Allah, sesungguhnya kami termasuk golongan orang yang menzalimi diri sendiri.

Ya Allah, Tuhan yang Maha Hidup, yang Berdiri dengan Sendiri, rahmatMu jua kami memohon pertolongan.

Ya Allah, rahmatMu jua yang kami harap, maka janganlah engkau serahkan kami untuk mencelikkan diri kami walau sekelip mata sekalipun, baikilah kedudukan kami kesemuanya, tiada Tuhan melainkan Engkau jua.

Ya Allah, sesungguhnya kami hambaMu, anak kepada hambaMu, ubun kami di atas kekuasaanMu, telah berlakulah kepada kami hukumanMu, adillah hukumanMu, kami memohon kepadaMu melalui segala namaMu, yang Engkau berikan nama pada diriMu, atau yang telah Engkau turunkan pada kitabMu, atau yang telah Engkau ajarkan pada salah seorang daripada makhlukMu, atau yang telah Engkau simpan pada ilmu-ilmu ghaib disisiMu, supaya Engkau jadikan Quran itu sebagai penenang hati-hati kami, sebagai cahaya hati kami, pembuka dukacita kami dan penghilang kerisauan kami. `111

SYAFAAT AL QURAN

Di dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

"Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah swt tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Quran, bukan Nabi, bukan malaikat dan sebagainya".

Melalui hadis di atas kita dapat mengetahui bahawa Al-Quran adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya akan diterima Allah.

Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa, “Apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian kepalanya. Apabila mayat itu di kafankan, orang itu akan datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu. Bila selesai dikebumikan, orang ramai akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat, Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan. Tetapi orang yang kacak itu akan berkata, “ Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekalipun. Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya sehigga aku membawanya masuk ke syurga!” Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata, “Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara yang perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat. Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini , engkau tidak akan berasa dukacita lagi.” Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dan malaikat-malaikat dari syurga.

Keterangan hadis ini menunjukkan bahawa al-Quran mempunyai fadilat yang amat besar sebagai jaminan serta pelindung bagi pembaca yang mengamalkan segala kandungannya.

Alangkah indahnya dan bahagianya sekiranya orang itu adalah kita. Kita tahu tentang tingginya syafaat Al-Quran, tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu kita adalah orang-orang yang rugi. Cuba kita renungkan sejenak diri kita sendiri. Ajal dan maut adalah ketentuan Allah. Bila ia telah datang kita tidak akan mampu memperlambat atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat. Dan apabila berada di dalam kubur siapakah lagi yang akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan-amalan kita sewaktu di dunia. Allah telah menjanjikan Al-Quran sebagai pemberi syafaat terulung dan janji Allah itu adalah benar. Dekatilah Al-Quran dan jadikanlah ia teman di dunia dan pemberi syafaat di akhirat. Semoga Allah memberi kita restu dan hidayahNya…. AMIN!!!