Sunday, January 29, 2012

KELEBIHAN MENUNTUT ILMU

1. Ilmu lebih baik daripada harta kerana ia adalah warisan para nabi, manakala harta pula warisan Qarun dan Fir’aun.

2. Ilmu boleh menjaga diri kamu, sedangkan harta, kamu yang menjaganya.

3. Orang yang memiliki ilmu mempunyai ramai teman, sedangkan pemilik harta mempunyai ramai musuh.

4. Ilmu pengetahuan itu akan bertambah jika diamalkan, sedangkan harta akan berkurangan jika dibelanjakan.

5. Pemilik ilmu pengetahuan sentiasa dihormati, sedangkan pemilik harta akan dikenali sebagai si kedekut.

6. Pemilik ilmu akan memberi syafaat, pemilik harta akan dihisab.

7. Biarpun masa berlalu namun ilmu tidak lapuk ditelan zaman, tetapi harta itu semakin lama semakin usang,

8. Ilmu pengetahuan dapat menyinari hati, tetapi harta mengeraskan hati.

9. Orang berilmu mengakui dirinya sebagai hamba Allah, sedangkan orang berharta mengakui dirinya pemilik.”

Wednesday, September 14, 2011

SENYUMAN ADALAH SEDEKAH

Abu Yazid Al Busthami, pelopor sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut. Dengan murung lelaki itu mengadu,"Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki. Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?"

Sang Guru menjawab sederhana, "Perbaiki penampilanmu dan ubahlah riak mukamu. Kau tahu, Rasulullah SAW adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah SAW, salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya." Lelaki itu tertunduk. Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya.

Mulai hari itu, wajahnya sentiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Alhamdullilah sesudah itu ia tak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah. Keserasian selalu dijaga. Sikapnya ramah,wajahnya sentiasa menguntum senyum bersahabat. Riak mukanya berseri.

Tak heran jika Imam Hasan Al Basri berpendapat, awal keberhasilan suatu pekerjaan adalah air muka yang ramah dan penuh senyum.Bahkan Rasulullah SAW menegaskan, senyum adalah sedekah paling murah tetapi paling besar pahalanya.

Demikian pula seorang suami atau seorang isteri. Alangkah celakanya rumah tangga jika suami isteri selalu berwajah tegang. Sebab tak ada persoalan yang diselesaikan dengan mudah melalui kekeruhan dan ketegangan. Dalam hati yang tenang, fikiran yang dingin dan wajah cerah, Insya Allah, apapun persoalannya nescaya dapat di atasi. Inilah yang dinamakan keluarga sakinah, yang didalamnya penuh dengan cinta dan kasih sayang.

Dari Abdullah bin Mas’ud Radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi Shallallahu s.a.w beliau bersabda: “Tidak akan masuk surga orang yang di dalam hatinya ada kesombongan seberat biji sawi”. Seorang laki-laki bertanya : “Ada seseorang suka bajunya bagus dan sandalnya bagus (apakah termasuk kesombongan?)”. Beliau menjawab : “Sesungguhnya Allah Maha Indah dan menyukai keindahan kesombongan adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia." (Riwayat Muslim)

Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda “Tiap-tiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu ialah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya.” (Riwayat Ahmad)

Dari Abu Dzar r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya:”Setiap orang mempunyai sumber sedekah. Tiap-tiap tasbih, tahmid, tahlil dan takbir adalah sedekah. Amar makruf adalah sedekah, nahi mungkar adalah sedekah. Dan semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha." (Riwayat Muslim)

Monday, August 1, 2011

KELEBIHAN SOLAT TERAWIH

1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama
Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua
Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.

3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga
Para malaikat di bawah ‘Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat
Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima
Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.

6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh
Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.

8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan
Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

9. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

10. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh
Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.

11. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas
Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

12. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas
Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.

13. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

14. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas
Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.

15. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas
Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

16. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas
Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

17. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas
Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

18. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas
Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

19. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas
Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

20. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh
Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

21. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

22. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.

23. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

24. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat
Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

25. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima
Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.

26. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

27. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

28. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan
Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.

29. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh sembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.
30. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh
Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar

SELAMAT BERAMAL BUAT SEMUA....

Saturday, July 30, 2011

24 jam Ibadah

24 jam Ibadah
Berkata Ibnul Qayyim Rahimahullah:

"Sebaik-baik ibadah itu adalah untuk keredhaan Allah dalam setiap masa, sesuai untuk waktu yang tertentu, iaitu boleh kita fahami di sini ialah:

Sebaik-baik ibadah ketika waktu jihad adalah jihad, sehingga walaupun meninggalkan bacaan wirid dan solat malam serta puasa sunnah siangnya. Dan sebaik-baik ibadah waktu kedatangan tetamu ialah melayan mereka dengan sebaiknya, sebagaimana yang disuruh oleh Islam, begitu juga layanan kepada isteri dan keluarganya.

Dan sebaik-baik ibadah sewaktu medidik dan mengajar ialah menumpukan sepenuhnya pada pengajaran dan pendidikan. Dan sebaik-baik ibadah pada waktu Azan ialah menjawab bacaan Azan serta meninggalkan bacaan wirid ketika itu. Dan sebaik-baik ibadah pada waktu Solat Fardhu ialah bersungguh-sungguh melaksananya dengan sebaiknya dan khusyuk, dan mengerjakannya pada awal waktu.

Sebaik-baik ibadah pula waktu membaca Al Quran ialah memusatkan perhatian kepada memahaminya seolah-olah Allah Ta'ala berbicara kepadanya dan berazam melaksanakan suruhannya. Dan sebaik-baik ibadah waktu wuquf di Arafah ialah berusaha dengan memperbanyakkan doa, dan zikir dan bukan dengan puasa yang melemahkan tugas ini. Dan sebaik-baik ibadah pada 10 hari pertama Zulhijjah ialah memperbanyakkan ibadah terutama bertasbih, bertakbir dan bertahmid, dan ianya lebih afdhal dari berjihad yang bukan fardhu.

Sebaik-baik ibadah pula pada 10 malam terakhir Ramadhan ialah beriktikaf di masjid tanpa mencampuri hal urusan manusia, dan ianya lebih baik daripada mengajar pada pendapat sesetengan ulama. Dan sebaik-baik ibadah ketika saudaranya sakit atau meninggal ialah menziarahinya atau mengusung jenazahnya.

Maka sebaik-baik ibadah pada setiap waktu ialah menginginkan keredhaan Allah Ta'ala pada situasi waktu itu sendiri dan menjalankan kewajipan pada waktu itu. Sesungguhnya orang begini ialah golongan ahli ibadah yang bebas, dan bukan golongan ahli ibadah yang terkongkong dengan ibadah tertentu sahaja.

Maka golongan ahli ibadah yang bebas ini jika kita berada pada golongan ulama, kita akan melihatnya ada di sana. Jika kita melihat golongan ahli ibadah pula, kita akan melihatnya ada di sana, dan jika kita melihat golongan mujahid, dianya juga ada berada di sana bersama mereka. Jika kita melihat golongan ahli zikir, dia juga ada bersama mereka, dan jika kita melihat para dermawan, kita akan dapati dianya ada di sana. Maka manusia yang begini dinamakan ahli ibadah yang tidak terikat, iaitu yang tidak hanya ada pada golongan tertentu sahaja."

Berkata Ibnul Qayyim Rahimahullah:

"Sesiapa yang berbaik dengan orang lain, Allah akan berbaik dengannya, dan sesiapa yang bersifat rahmat kepada orang lain, Allah akan akan bersifat rahmat kepadanya, dan sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepadanya, dan sesiapa menutup keaiban orang lain, Allah akan menutup keaibannya, dan sesiapa yang menegah kebaikan orang lain, Allah akan menegah kebaikan kepadanya, dan sesiapa yang bermuamalah kepada orang lain dengan sifat tertentu, Allah akan bermuamalah dengannya sama dengan sifat itu di dunia dan di akhirat. Maka Allah Ta'ala dengan hambanya berdasarkan kelakuan hambanya kepada makhluk yang lain."

Sumber:
Kitab Bagaimana Mendapat Pahala Hidup 7000 Tahun
Ustaz Haji Ahmad Haris Suhaimi

Sunday, June 5, 2011

SUSAHNYA MENJAGA HATI,RAJA DIRI

Susahnya menjaga hati. Sedangkan ia adalah tempat pandangan Allah. Ia merupakan wadah rebutan di antara malaikat dan syaitan. Masing-masing ingin mengisi. Malaikat dengan hidayah, syaithan dengan kekufuran. Bila tiada hidayah, ada ilmu pun tidak menjamin dapat selamat, sekalipun ilmu diperlukan

Susahnya menjaga hati. Bila dipuji, ia berbunga. Terasa luar biasa. Bila dicaci, aduh sakitnya. Pencaci dibenci. Bahkan berdendam sampai mati. Bila berilmu atau kaya, sombong mengisi dada. Jika miskin atau kurang ilmu. Rendah diri pula dengan manusia. Adakalanya kecewa. Kemuncaknya putus asa. Pada takdir yang menimpa, kita susah untuk redha. Ujian yang datang, sabar tiada. Jiwa menderita.

Melihat kelebihan orang lain, hati tersiksa. Kesusahan orang lain, hati menghina. Bahkan terhibur pula. Suka menegur orang, tapi bila ditegur hati luka. Aduh susahnya menjaga hati. Patutlah ia dikatakan raja diri. Bukankah sifat sombong pakaian Raja?!

Bukan mudah menahan marah apabila orang marah kepada kita atau orang membuat kesalahan kepada kita. Bukan mudah tidak membalas terhadap orang yang menganiaya dan memfitnah kita. Sedangkan mereka menyusahkan kita, dan kita pun menderita dibuatnya.

Tidak mudah menahan perasaan hati agar tidak berbunga ketika ada orang memuji kita. Apakah kita boleh menolak pujian itu dengan rasa hati bahwa kita tidak layak menerimanya? Tidak mudah, biasanya hati sedap dan berbunga rasanya.

Apabila kita berhadapan dengan orang serba istimewa, ada yang kaya, berjabatan tinggi, tinggi ilmunya sedangkan kita orang biasa saja, biasanya kita inferiority complex dibuatnya, malu pun timbul. Dapatkah kita merasa biasa saja, tidak terasa apa-apa?

Yang penting kita dengan Tuhan ada hubungan senantiasa, takut dan cinta. Terasa bahagia dengan Tuhan, rasa senang dengan-Nya yang lain tidak ada arti apa-apa. Apakah mudah hati kita menahan derita bila mendapat bala bencana? Tidak mudah, biasanya hati kita derita dibuatnya. Kita rasa kecewa, kita rasa orang yang malang hidup di dunia. Kita tidak dapat hubungkaitkan dengan hikmah dan didikan Tuhan kepada kita. Bahkan biasanya selalu saja buruk sangka dengan Tuhan yang melakukannya. Hati kita rasa bahwa tidak semestinya Tuhan menyusahkan kita.

Begitu jugalah kalau kita orang istimewa, berilmu, berjabatan tinggi, kaya! Biasanya rasa megah datang tiba-tiba, sombong pun berbunga, mulailah kita menghina. Hidup kita pun mulailah berubah, sebelumnya beragama lupa agama. Kalau dahulu dapat bergaul dengan orang biasa, sekarang kawan kita golongan atas saja. Hendak bergaul dengan orang biasa seperti dahulu rasa jatuh wibawa.

Begitulah hati manusia sentiasa berubah-ubah apabila berubah keadaan. Karena itulah kita disuruh berdoa: “Ya Allah tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu, dan mentaati-Mu.”

Wednesday, March 2, 2011

ADAKAH ANDA SEORANG YANG IKHLAS

Adakah Anda Seorang Yang Ikhlas
KITA mungkin selalu mendengar orang berkata,"saya ikhlas." Tapi itu sekadar adat berbahasa kerana tidak ada siapa pun tahu keikhlasan seseorang. Malah hati sendiri pun susah hendak diteropong sama ada ikhlas atau tidak ikhlas. Tapi sekurang-kurangnya keikhlasan dapat dibaca pada sikap dan tindak-tanduk kita. Cuba-cubalah kuiz ini.......

1. Anda sedang melangkah ke majlis pengajian di surau apabila ada yang menegur. "Rajin ke surau nampaknya, tak lama lagi bolehlah jadi ustazah/ustaz." Reaksi anda?
A. Teragak-agak hendak meneruskan langkah.
B. Terus melangkah dengan sopan sambil berkata, "Amin, mudah-mudahan begitulah hendaknya..."

2. Anda sangat menjaga waktu solat bila bersama rakan-rakan sealiran. Bila berseorangan?
A. Hilang kekuatan dan selalu lewat solat.
B. Alhamdulillah,dapat pertahankan solat pada awal waktu.

3. Ada orang mengutip derma untuk kebajikan. Ketika itu anda hanya ada sedikit wang tapi tidak dapat mengelak. Bicara hati anda?
A. "Hai...melayanglah duit belanja aku..."
B. "Moga-moga Allah nilai dan Allah ganti dengan yang lebih baik."

4. Anda dipuji seseorang. Rasa hati anda?
A. Bangga tidak terperi.
B. Mengembalikan pujian kepada Allah.

5. Anda bermuka manis dan memberi senyuman kepada seorang teman, tapi dia seakan tidak memberi respons sahaja. Komen anda?
A. "Malas nak senyum-senyum lagi kat dia."
B. "Agaknya mood dia tak berapa baik hari ni...Ada masalah agaknya."

6."Amboi! Alim nampak..." tegur seorang kawan apabila melihat anda pertama kali berserban. Reaksi anda?
A. Tersinggung,rasa macam kena perli.
B. Tenang dan masih boleh bermuka manis.

7. Mudahkah bagi anda untuk konsisten membuat sesuatu amalan baik?
A. Susah
B. Mula-mula memang susah, tapi lama-kelamaan rasa seronok pula.

8. Anda dilucutkan jawatan dalam persatuan dan menjadi ahli jawatankuasa biasa. Bicara hati anda?
A. "Tidak ada moodlah nak buat apa-apa lagi...."
B. "Tak apalah, asalkan aku dapat terus berkhidmat bakti."

9. Anda telah bersusah payah menjayakan sesuatu projek, tetapi tiada siapa pun yang menghargai. Reaksi anda?
A. Kecil hati dan hilang mood hendak buat lagi.
B. Tetap bahagia kerana sudah berjaya sambil mengharap Allah terima sebagai ibadah.

10. Anda ternampak seorang wanita daif menggunakan duit sedekah daripada anda untuk membeli rokok. Bicara hati anda?
A. "Tak patut sungguh.Ishh...menyesal pulak sedekah kat dia..."
B. "Tak patut dia buat macam tu.Tapi tak apalah, mudah-mudahan dia dapat hidayah dan moga-moga sedekah aku tetap Allah terima."

(Beri satu markah untuk diri anda bagi setiap jawapan 'B')

ANALISIS MARKAH

10: Anda masih tidak boleh mendakwa sebagai seorang yang ikhlas, kerana keikhlasan itu rahsia Allah.Hanya Allah yang dapat menilainya.Tetapi tanda-tanda keikhlasan sedikit sebanyak ada pada diri anda.Jangan jemu mencari keredhaan-Nya kerana Dia tidak pernah jemu menerima pengabdian daripada hamba-Nya.

7-9: Tahap keikhlasan anda belum sepenuhnya.Tetapi keihlasan boleh diusahakan.Buatlah sebanyak mungkin kebaikan.Walaupun pada peringkat awalnya anda benar-benar tidak ikhlas, mudah-mudahan lama-kelaman apabila kebaikan itu menjadi sebati, akhirnya Allah campakkan keikhlasan di hati kita.jangan lupa berdoa agar Allah masukkan kita ke dalam golongan hamba-hamba-Nya yang ikhlas.

6 ke bawah: Mungkin tahap keikhlasan anda sangat kurang disebabkan anda belum dapat hayati tujuan sebenarnya hidup ini; untuk apa dan kerana siapa.Carilah keredhaan Allah, bukan keredhaan manusia.Bumi yang kita pijak ini milik Allah, kenalah kita berjaga-jaga dengan pandangan Allah.Yakinlah, sungguhpun manusia suka atau tak suka, ia tetap tak menjejaskan kita kalau Allah suka dan sayangkan kita.Kita hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah, bukan untuk manusia.

Tuesday, November 9, 2010